بلوڬ اين مروڤاكن كومڤيلسي ببراڤ كاجين سرتا ارتيكل دري ڤلباڬاي سومبر يڠ ترداڤت د عالم ماي ماله جوڬ دري چتوسن ايديا سنديري دالم ممبينچڠكن سرتا مڠفوكوسكن ببراڤ ايسو ڤنتيڠ دسيكيليليڠ كيت.

Wednesday, February 6, 2013

Misteri Gunung Ledang

Dimanakah Gunung Ledang?

Gunung Ledang terletak diantara Muar dan Melaka. Ia juga dikenali sebagai Mount Ophir dan terkenal dengan pelbagai spesis tumbuhan dan haiwan yang sukar ditemui didunia. Malah sarat dipenuhi dengan cerita-cerita mistik seperti Puteri Gunung Ledang, jambatan emas, penunggu dan pelbagai misteri yang aneh-aneh kedengaran disekitar Gunung Ledang.  

Tanah Melayu pernah tercatat di dalam peta-peta pelayaran di barat malahan Gunung Ledang juga telah dikenali sekian lama dahulu. Di dalam kitab Yahudi, Melakim (Raja-raja), fasal 9, diterangkan bahawa Nabi Sulaiman raja Kerajaan Israel Raya menerima 420 talenta emas dari Hiram, raja Tirus yang menjadi bawahan beliau. Emas itu didapati dari negeri Ophir. Negara Barat mengenalinya sebagai Mount Ophir iaitu berasal daripada bahasa Yahudi tua atau Hebrew yang turut tercatat dalam Kitab Zabur yang antara lain menyatakan kawasan itu mempunyai banyak logam emas manakala pedagang China pula, gunung itu digelar sebagai Kim Sua yang bermaksud Gunung Emas.

Ptolemy yang menulis pada abad kedua Masehi telah menyebut tentang sebuah Semenanjung Emas, Aurum Khersonese (Aurum diambil dari kata Aurea,Aurea Chersonese) yang terletak di antara negeri China dengan negeri India. Mengikut pengetahuan hari ini taburan penemuan emas utama di Semenanjung Tanah Melayu terdapat di Jalur Tengah, iaitu dari Batu Melintang di Kelantan, menuju ke selatan melalui Sokor, Pulai, Selinsing, Raub, Chenderas hinggalah ke Gunung Ledang di Johor. Jumpaan terbaru dibuat di Jalur Timur iaitu di kawasan Mersing di Johor dan Lubuk Mandi di Terengganu.




Laksamana Cheng Ho dikatakan pernah melawat lombong-lombong emas di Gunung Ledang dan mengambil contoh emas-emas tersebut untuk pengetahuan rajanya. Di keliling kemuncak Gunung Ledang terdapat 7 buah kemuncak rendah. Setiap satunya mempunyai legendanya yang tersendiri.Yang paling aneh sekali ialah Legenda Gunung Gemih yang ceritanya ada sebuah gua emas yang dikawal rapi oleh penunggunya seekor lembu emas. Dalam peta lama Portugis, nama GEMIH ini ditulis sebagai Gummay yang bermaksud sebuah pusat perusahaan emas. Menurut kolonel Gerini ( 1904 ), Gemih masih merupakan pusat perlombongan emas orang-orang Melayu di Gunung Ledang sehingga tahun 1817.
Rounsevelle Wildman, seorang penulis terkenal dari Amerika Syarikat telah menemui seketul logam yang diambil dari kawasan lombong di tebing Sungai Gemih pada tahun 1894, apabila dileburkan didapati mengandungi emas.

Jadi cerita dongeng mengenai Sultan Mahmud dari Kesultanan Melaka yang ingin memperisterikan Puteri Gunung Ledang mungkin benar. Antara syarat-syarat yang dikenakan:
  • 1 jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka.
  • 1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 7 dulang hati nyamuk.
  • 7 dulang hati hama.
  • 7 tempayan air mata anak dara.
  • 7 tempayan air pinang muda.
  • 1 mangkuk darah Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Mahmud Shah, dan yang masih kanak-kanak lagi.
Semua syarat itu sanggup ditunaikan oleh Sultan Melaka kecuali darah puteranya.

Jika semenanjung Malaysia dikenali sebagai semenanjung emas maka tidak mustahil bagi Sultan Mahmud menunaikan syarat yang diletakkan Puteri Gunung Ledang. Ini secara tidak langsung membuktikan keupayaan serta kemajuan yang dimiliki oleh kerajaan Melaka pada ketika itu.

No comments: