بلوڬ اين مروڤاكن كومڤيلسي ببراڤ كاجين سرتا ارتيكل دري ڤلباڬاي سومبر يڠ ترداڤت د عالم ماي ماله جوڬ دري چتوسن ايديا سنديري دالم ممبينچڠكن سرتا مڠفوكوسكن ببراڤ ايسو ڤنتيڠ دسيكيليليڠ كيت.

Wednesday, July 24, 2013

Derita Sekarang Bukan Bermakna Derita Selamanya

Seperti kita sedia maklum, masyarakat dunia dibahagikan mengikut kelompok tertentu. Ada golongan yang kaya, sederhana, miskin, dan fakir miskin. Masyarakat kita dibahagikan kepada golongan yang pandai dan tidak pandai. Di sekolah khususnya di Malaysia, sudah diamalkan sistem memisahkan golongan yang pandai dan kurang pandai. Yang pandai dimasukkan dikelas atas dan mendapat layanan istimewa manakala yang kurang pandai dimasukkan dikelas bawah dan mendapat layanan ala kadar dari cikgu. Ini realiti dan kita perlu terima.

Walaupun saya hanya sekejap sahaja di kelas bawah, tapi kesan dia sampai sekarang saya ingat. Bagaimana cikgu melayan kami. Kami dilayan seperti orang yang tidak ada apa-apa fungsi. Hanya mengajar disebabkan tugas kerja. Tanpa peduli masalah yang kami hadapi. Tanpa bertanya apa yang tidak faham dalam kelas. Dibiarkan tanpa sebarang panduan dan pertolongan. Bila keputusan peperiksaan keluar, kami akan dimarah dan diherdik sebab kegagalan kami. Dan pada waktu itu, terdetik dihati saya agak budak kelas atas pun macam tu juga kot kena marah sebab gagal.

Namun, pandangan saya meleset. Selepas saya berjaya naikkan diri saya dikelas atas, saya tengok layanan cukup berbeza dengan apa yang saya hadapi. Budak-budak kelas atas dilayan seperti seorang pelajar. Ditanya apabila tidak faham. Ditanya apa masalah yang kami hadapi. Kami dipegang erat dan dianggap sebagai seorang anak. Bersyukur kepada Allah kerana saya dapat naikkan diri saya dikelas atas. Ini semua bermula apabila keputusan UPSR saya dibandingkan oleh ayah dengan saudara-saudara lain. Pada masa itu, saya berasa sangat tercabar. Disaat itulah, saya berusaha masa disekolah menengah untuk melayakkan dan membuktikan diri saya pun boleh dan sama macam mereka.

Alhamdullilah, disekolah menengah saya dapat jalani kehidupan sebagai seorang pelajar sekolah menengah dengan baik. Dan keputusan PMR dan SPM saya pun memuaskan hati saya. Saya dapat lawan saudara saya yang lain dan saya antara yang teratas. Dan saya pun melanjutkan pelajaran di UiTM dalam bidang engineering malah berjaya sambung keperingkat ijazah.

Saya tidak pernah menyesal apa yang saya hadapi dulu. Cuma apa yang saya kesalkan kenapa dari dulu saya tidak terus berusaha untuk menjadi pandai. Mungkin ada hikmah apa yang berlaku. Mungkin tuhan mahu tunjukkan kepada saya kehidupan apabila dianggap pandai dan tidak pandai. Dan saya tidak pernah rasa kecewa apa yang ayah buat dulu pada saya sebab saya tahu setiap ibubapa akan bandingkan anak mereka dengan orang lain sebab mereka mshu anak mereka bersaing dengan anak orang lain. Itulah harapan mereka.

Walau teruk mana pun ibubapa, mereka tetap sayangkan anak mereka. Mungkin mereka tidak dapat bagi kita kemewahan, tapi sekurang-kurangnya mereka mampu bagi kita pelajaran. Dengan pelajaranlah kita mampu ubah kehidupan kita. Dengan pelajaran jugalah kita mampu menyenangkan dan mengenbirakan ibubapa kita. Walaupun saya tidak pernah dengar mereka puji atas keputusan peperiksaan yang saya dapat tapi saya dapat lihat kesungguhan ibubapa saya masa saya mula hendak menjejakkan kaki di universiti.

Sekarang baru mengerti kapayahan hidup. Hidup kita boleh diibaratkan sebagai roda yang akan berpusing. Tidak semestinya kita dibawah dan tidak akan selamanya kita diatas. Apabila kita diatas, hendaklah sentiasa melihat kebawah agar kita tidak lupa diri. Hidup kita tidak akan berubah kalau hanya menyerahkan pada nasib. Hidup kita juga tidak akan berubah kalau asyik menyalahkan takdir. Kita perlu berusaha untuk membaiki kehidupan kita. Kemewahan mungkin boleh diwarisi, tapi ilmu tidak boleh diwarisi. Sama juga seperti iman, iman tidak boleh diwarisi oleh anak.


No comments: